Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

Bernama.com – Sarawak bangunkan makmal uji dapur gas domestik

KUCHING—Sarawak kini mempunyai sebuah Makmal Pengujian Dapur Gas Domestik yang dikendalikan oleh Sirim Berhad di Demak Laut, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sirim, badan kawal selia yang dilantik oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi mengendalikan pengujian keselamatan dapur gas domestik di pasaran negeri ini.

Menurut Abang Johari pembangunan makmal itu dapat memastikan setiap peralatan diuji dan dinilai oleh Sirim QAS International, sebelum dipasarkan dan digunakan oleh rakyat di negeri ini, lapor Bernama.

“Saya menggesa para penggiat industri di negeri ini, terutamanya pengimport dapur gas domestik agar terus melaksanakan ujian ke atas produk mereka yang kini boleh dilaksanakan di Kuching tanpa perlu menghantarnya ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi pada majlis perasmian makmal itu di sini, hari ini.

Abang Johari berkata makmal itu akan merancakkan lagi pembangunan industri gas dan melindungi keselamatan pengguna di negeri ini.

“Usaha dan kerjasama ini akan mengukuhkan lagi hubungan di antara kerajaan negeri dan Sirim Berhad ke arah pembangunan yang lebih baik dalam membantu memperkenalkan program-program terkini, selari dengan keperluan serta agenda yang dirancang.

“Saya difahamkan bahawa pihak Sirim telah membangunkan Sirim Karbon Kalculator, yang berfungsi untuk mengira jejak karbon daripada produk industri. Saya pasti sekiranya inisiatif ini digunakan di Sarawak, ia akan dapat membantu memantau kesan pencemaran alam sekitar di negeri ini,” tambahnya.

Pada majlis itu, Julaihi turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman di antara Sirim Berhad dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi menyediakan platform latihan dan perundangan untuk pembangunan usahawan di bawah naungan SEDC.

Downloads