Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

BERNAMA.com – SIRIM QAS International Perkenal Relau Ketahanan Kebakaran

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — SIRIM QAS International hari ini memperkenal makmal perlindungan kebakaran baharunya iaitu Relau Ketahanan Kebakaran Jenis Segi empat yang bakal memanfaatkan agensi keselamatan kebakaran, pengilang pintu kebakaran dan pihak berkaitan lain dalam industri pembinaan. Makmal perlindungan kebakaran baharu yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu dapat menjalankan ujian ketahanan api untuk bahan binaan seperti saluran, siling dan struktur keluli sekali gus meningkatkan penawaran perkhidmatan komprehensif sedia ada.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata selain memberi sumbangan besar kepada industri tempatan, penggunaan makmal itu oleh industri berkaitan di rantau ini dan dunia dijangka dapat mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara secara positif. “Majlis pelancaran hari ini meraikan satu lagi kejayaan SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad sebuah organisasi perintis yang diiktiraf Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa serantau yang lain,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Makmal bertempat di SIRIM cawangan Rasa, Selangor itu dilancarkan hari ini oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Norazman Ayob. Menurut Ahmad Sabirin, sebagai sebuah organisasi perintis yang turut diiktiraf pihak berkuasa serantau lain seperti Pasukan Pertahanan Awam Singapura, pihaknya akan terus berusaha secara aktif untuk membantu agensi berkaitan dengan keupayaan yang ada.

“Malaysia mempunyai peluang untuk menerajui ujian makmal dan pensijilan di rantau ini melalui sokongan SIRIM dalam pematuhan standard dan kualiti sejak tahun 1966 lagi. “Melalui matlamat yang jelas, saya yakin kami akan dikenali dan diiktiraf sebagai hab ujian kebakaran di rantau ini dalam masa terdekat,” katanya.
— BERNAMA