Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

Bernama – SIRIM Lancar Skim Akauntabiliti Sosial Bantu Syarikat Urus Impak Perniagaan

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Anak syarikat SIRIM Berhad, SIRIM QAS International melancarkan Skim Akauntabiliti Sosial (SIRIM 50) bagi membantu
syarikat di Malaysia mengurus impak perniagaan terhadap masyarakat dan komuniti berkaitan keperluan tenaga kerja, hak-hak pekerja dan kebajikan serta
keselamatan persekitaran kerja, semalam.

SIRIM Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan skim itu konsisten dengan standard sosial antarabangsa dan akan mendorong usaha kelestarian syarikat di
Malaysia selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030, terutamanya Matlamat Lapan berkenaan pekerjaan yang baik serta perkembangan ekonomi.

“Standard skim itu dibangunkan oleh SIRIM STS Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad sebagai asas penyediaan khidmat latihan dan konsultasi,
selain turut menjadi teras kepada pengauditan dan pemeriksaan terhadap majikan yang berpangkalan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

SIRIM 50 dilancarkan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, yang turut dihadiri Naib Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa
Pengurusan Sumber Manusia Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Datuk Nathan Suppiah serta Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Nur
Fadhilah Muhammad.

Menerusi kenyataan itu, Ahmad Sabirin berkata SIRIM 50 adalah selaras dengan komitmen SIRIM untuk membantu syarikat di Malaysia melaksanakan

prinsip berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terutamanya dalam aspek sosial.
“ESG amat penting dalam perniagaan hari ini kerana ia memberikan kesan besar kepada reputasi sesebuah syarikat dan hubungan syarikat tersebut dengan
pemegang berkepentingan. Oleh itu, saya menyeru semua syarikat untuk turut serta dalam mengimplementasikan Skim SIRIM 50 ini,” katanya.

Semasa majlis tersebut, Nur Fadhilah menjelaskan standard skim itu dapat membantu syarikat yang berpangkalan di Malaysia menunjukkan komitmen mereka
terhadap kepentingan pekerja dan komuniti yang mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing syarikat.

“Majlis perasmian ini dilihat telah mencapai objektif dalam memperkenalkan dan mempromosikan SIRIM 50 yang pastinya akan memperkasakan sektor pekerjaan

Malaysia ke suatu tahap lebih tinggi,” katanya. — BERNAMA