Share

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on email
Email
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on print
Print

Harian Metro – SIRIM umum perlantikan utama baru

Kuala Lumpur: SIRIM Berhad, anak syarikat di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melantik dua pengurusan kanan untuk menerajui cabang penyelidikan perindustriannya dan anak syarikat pensijilan, pemeriksaan dan pengujiannya.

Mohd Azanuddin Salleh dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PenyelidikanPerindustrian SIRIM yang baru, sementara Nur Fadhilah Muhammad, akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International yang baru, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad.

Pelantikan ini berkuat kuasa pada 1 Februari 2021.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani berkata, pihaknya mengalu-alukan kedua-dua eksekutif yang kuat dan berbakat ini ke pasukan kepimpinan SIRIM.

“Masing-masing membawa pencapaian cemerlang dan pengalaman yang akan memberi manfaat kepada Kumpulan SIRIM, pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ir Dr Mohamad Jamil atas khidmat cemerlangnya kepada SIRIM terutama kepimpinan strategiknya di Penyelidikan Perindustrian SIRIM.

Mohd Azanuddin Salleh, menggantikan Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman, yang bersara pada 30 Januari 2021.

Sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin menyertai SIRIM sebagai Naib Presiden Kewangan Kumpulan pada tahun 2016 dan bertanggungjawab dalam semua aspek pengurusan kewangan dan fiskal bagi operasi syarikat pemegangan.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, beliau bertanggungjawab dalam pertumbuhan syarikat yang mapan berikutan penyediaan perkhidmatan cemerlang dan keberkesanan operasi yang berterusan dan telah mengurangkan masa perolehan untuk aktiviti pensijilan produk kepada 50 peratus.

Mohd Azanuddin juga memperkenalkan sejumlah 34 perkhidmatan baru dan inovatif seperti Audit dan Penilaian Jarak Jauh, Pengujian Konsainan Bergerak, Pengujian Sistem Perlapisan Luar dan Pengujian Kaca Tertebat dan melaksanakan Pusat Khidmat Pelanggan Berpusat untuk pengalaman pelanggan yang berkesan.

Mohd Azanuddin berkelulusan Muda Sastera dengan Kepujian dalam Kawalan Perakaunan dan Pengurusan dari Sheffield Hallam University, United Kingdom (UK) (

Sementara itu, Nur Fadhilah, yang menggantikan Mohd Azanuddin, ialah Pengurus Besar Kanan Jabatan Perkhidmatan Pengujian, SIRIM QAS International.

Beliau menyertai SIRIM pada 1985 sebagai Pegawai Penyelidik dan pernah memegang beberapa jawatan termasuk Eksekutif Pengujian Kanan dan Pengurus Kanan.

Dengan pengalaman yang luas dalam perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian, beliau juga adalah pakar teknikal yang mewakili Malaysia dalam WG29, Jawatankuasa Standard Penilaian Pematuhan sejak tahun 2000 hingga sekarang dan pakar teknikal dalam mesyuarat penilaian pematuhan Asean untuk pembangunan rejim kawal selia berharmoni untuk peralatan elektrik dan elektronik.

Beliau mendapat pendidikan tinggi di Southern Illinois University, Amerika Syarikat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sarjana Muda Sains) dan Sarjana Sains dalam Pembuatan dan Automasi dari University of Bristol, UK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 1:04 PM