Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

Harian Metro – Sikap anti-rasuah perlu dipupuk di bangku sekolah

“APABILA disuakan dengan RM40, kita mampu mengatakan tidak dengan tegas, tetapi bagaimana pula jika diberi RM40,000 dan RM400,000, (pasti) kita akan cakap terima kasih.

“Bagaimana kita nak kawal perkara itu dan inilah realiti dunia rasuah yang kita hadapi sekarang.

Demikian kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, sikap menolak rasuah sebenarnya perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi dengan menerapkan amalan anti rasuah dalam sistem pendidikan.

“Guru memainkan peranan penting dalam memulakan langkah ini di sekolah dengan sedikit pengubahsuaian kokurikulum.

“Sebelum kita mengajar murid, guru terlebih dulu perlu dilatih dengan elemen anti rasuah,” katanya dalam forum Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) Menjadikan Ekonomi Lebih Mampan di Institut Integriti Malaysia (IIM), hari ini.

Forum selama dua jam itu turut menampilkan panel Pengerusi Sirim Berhad, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali; Pengarah Urusan Top Glove Corporation Bhd Datuk Lee Kim Meow; Ketua Pegawai Eksekutif IIM Nor’Afiza Saim dan moderator Ketua Pegawai Eksekutif Sirim QAS International Sdn Bhd, Mohd Azanuddin Salleh.

Katanya, perkara itu sudah dicadangkan kepada kerajaan melalui inisitiaf Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP).

Sementara itu, Nor’Afiza berkata, amalan untuk berkata ‘tidak’ kepada rasuah perlu dipupuk melalui ibu bapa sejak daripada kecil.

“Guru yang hebat adalah ibu bapa. Jika mereka menunjukkan sikap yang bagus kepada anak-anak, pastinya menjadi contoh dan ikutan terbaik.

“Bagaimana pula jika mereka mengambil rasuah, pastinya anak-anak mencontohi perkara yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 4:44 PM

Downloads