Share

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on email
Email
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on print
Print

Sinar Harian – SIRIM tawar rebat 20 peratus kepada pengeluar pelitup muka

SIRIM Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, SIRIM QAS International akan memberikan rebat 20 peratus kepada pengeluar pelitup muka di bawah pakej perkhidmatan pengujian dan pensijilannya yang bermula Selasa sehingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, rebat yang ditawarkan itu adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Menurutnya, pemberian rebat itu merupakan usaha SIRIM untuk terus membina ketahanan perniagaan yang berterusan terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan selain melaksanakan peranan yang telah dimandatkan oleh kerajaan.

“Ini untuk memastikan perkhidmatannya (SIRIM) meliputi sektor penting ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan memberi perkhidmatan secara jauh termasuklah melakukan pengujian, pemeriksaan, penentusahan, pengukuran bagi menjamin keselamatan, kebolehpercayaan dan kualiti produk yang diperbuat dan dijual di negara ini dalam tempoh berkenaan.

“Melalui Penyelidikan Perindustrian SIRIM, organisasi ini juga aktif dalam pelbagai kerja penyelidikan dan pembangunan berkaitan vaksin Covid-19 termasuklah pengesahan proses pembuatan serta pengujian keselamatan lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Ahmad Sabirin berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu memberikan strategi yang jelas bagi negara untuk keluar daripada kemelut krisis Covid-19.

Katanya, kejayaan pelan itu juga bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat dan pihak industri.

“Pematuhan ketat pada prosedur operasi standard dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi telah terbukti berkesan di kebanyakan negara dan kami percaya Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mencapai semula kehidupan normal,” katanya. – Bernama