Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

Utusan Malaysia – Industri vape perlu masa setahun untuk transisi

PETALING JAYA: Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) hari ini menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) supaya memberi masa kepada pemain industri vape sekurang-kurangnya setahun untuk memenuhi dan mematuhi piawaian bagi peranti vape yang diumumkan baru-baru ini.

Kenyataan MRECA ini dibuat berikutan pengumuman KPDNHEP yang mengatakan pengeluar dan pengimport peranti vape tempatan mesti menjalani pensijilan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd..

Setiap produk mesti menepati pelabelan MS Sirim daripada Sirim QAS International Sdn. Bhd. berkuat kuasa 3 Ogos 2022.

Ia termaktub di bawah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan) Perintah Peranti Rokok Elektronik 2022 yang telah diwartakan pada 5 April 2022.

Presiden MRECA, datuk Adzwan Ab Manas berkata, tempoh empat bulan yang diberikan tidak mencukupi untuk industri mematuhinya.

Katanya, walaupun garis panduan SIRIM sendiri menyatakan bahawa proses pensijilan dan ujian mengambil masa kira-kira 80 hari bekerja, namun jika ratusan syarikat cuba mendapatkan pensijilan untuk beribu-ribu produk dalam satu masa, prosesnya tidak akan sama.

“Ia akan menjadi sangat mencabar bagi SIRIM QAS untuk melengkapkan pensijilan untuk begitu ramai pemain dalam tempoh yang singkat.

“Sebelum ini, ahli kami juga telah menjalani proses yang sama dan mengambil masa enam hingga lapan bulan hanya untuk satu produk daripada satu syarikat untuk menyelesaikan proses ujian dan pensijilan.

“Oleh itu, ini akan menjadi sukar bagi industri untuk mematuhinya menjelang 3 Ogos 2022,” katanya dalam kenyataan.

Adzwan juga berkata pihak berkuasa tidak mengambil kira masa yang diperlukan untuk pemain industri untuk membuat perubahan dalam kelompok pengeluaran bagi mematuhi ciri-ciri pelabelan kerana produk perlu dilabel dengan label SIRIM yang disertakan dengan nombor siri yang hanya akan diberikan selepas ujian dan proses pensijilan selesai.

Di samping itu, sesetengah pemain industri mempunyai lebih daripada empat bulan stok inventori di gudang dan ini bermakna pemain industri akan mengalami kerugian.

“Dengan mengambil kira semua faktor ini, kami percaya industri memerlukan satu tahun untuk peralihan sepenuhnya. Saya pasti pemain industri vape di Malaysia akan melakukan apa sahaja yang

perlu untuk mendapatkan pensijilan produk mereka.

“Oleh itu, adalah wajar kerajaan bersikap adil kepada mereka dengan memberi mereka masa yang mencukupi untuk lakukan yang perlu,” katanya.

Selain memohon tambahan masa, MRECA juga menggesa kerajaan untuk melihat semula dan mengkaji semula piawaian tersebut kerana ia sudah lapuk.

“Standard yang diumumkan itu telah dibangunkan hampir lima tahun lalu. Sejak itu, industri vape telah menyaksikan pelbagai transformasi yang telah meningkatkan kualiti peranti vape.

“Oleh itu, kami percaya set piawaian perlu disemak dan dikemas kini dan pastikan ia selaras dengan amalan antarabangsa.

“Industri vape di Malaysia terdiri daripada usahawan tempatan dan berpotensi untuk berkembang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara. Oleh itu, adalah penting bahawa industri ini diberi sokongan, maklumat dan kapasiti yang betul untuk membangun dengan lebih kukuh.

“Jika tidak, kita mungkin kehilangan peluang untuk mengembangkan industri kepada keupayaan sebenar,” kata Adzwan. – UTUSAN