Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

Malaysia Gazette – SIRIM QAS International sumbang 570 topi keledar kepada siswa UiTM

Penolong Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Azizah Abdullah (tiga kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS, Nur Fadhilah Muhammad (tengah) bergambar bersama pelajar selepas Kempen Kesedaran Pengguna ada Sirim Baru Beli pada Majlis Sumbangan Topi Keledar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UITM Shah Alam.

SHAH ALAM — Sebanyak 570 topi keledar disumbangkan kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd, anak syarikat SIRIM Berhad, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Fadhilah Muhammad berkata, inisiatif itu antara langkah bagi menyokong usaha mengurangkan kadar kecederaan berat akibat penggunaan topi keledar yang tidak menepati standard ditetapkan SIRIM.

“UiTM dipilih sebagai rakan strategik kami berdasarkan peratusan pelajar mereka yang menggunakan motosikal lebih tinggi berbanding kereta sebagai mod kenderaan utama ke universiti.

“Mesej yang hendak disampaikan adalah produk-produk yang dibeli perlu ada pensijilan SIRIM, kerana aspek keselamatan itu adalah yang paling penting.

“Kalau tiada logo pengesahan SIRIM, besar kemungkinan produk itu tidak selamat. Pengujian paling penting kepada helmet ini adalah impact-test.

“Berbanding dengan helmet yang diluluskan SIRIM, helmet yang sub-standard ini, dia akan pecah jika berlaku kemalangan dan ia takkan melindungi kepala pemakainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kempen Kesedaran Pengguna ‘ADA SIRIM BARU BELI’ Majlis Sumbangan Topi Keledar, di UITM Shah Alam, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis, Penolong Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Azizah Abdullah, dan Dekan Fakulti Pengajian Komunikasi dan Media, Profesor Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman.

Dalam pada itu, Abd. Rasid menyifatkan kempen itu berketepatan kepada masyarakat dalam membeli produk mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Mesej yang hendak disampaikan hari ini menekankan perihal keselamatan itu penting. Dalam membeli sesuatu produk, kita perlu memastikan ia mengikut standard yang ditetapkan.

”Berjuta produk dibawa masuk secara dalam talian, tetapi adakah barang-barang itu mengikut standard yang ditetapkan? Mungkin harganya murah tetapi kita khuatir kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

”Kita menguar-uarkan kepada masyarakat bahawa pembelian produk yang disijilkan SIRIM mampu meningkatkan keselamatan,” katanya. -MalaysiaGazette