Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

Bernama Online – SIRIM Lancar Ekosistem Lengkap EV di Malaysia Menerusi Penubuhan NRBTC

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — SIRIM Bhd melancarkan ekosistem lengkap untuk kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dengan penubuhan Pusat Ujian Bateri Boleh Cas Semula Negara (NRBTC), yang akan memperluas rantaian nilai EV secara ketara dengan merangsang penawaran dan permintaan. Ekosistem lengkap ini terdiri daripada kelulusan paten bagi sistem pengecasan EV, ujian bateri dan pensijilan bagi komponen dan sistem EV.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelancaran itu menandakan usaha SIRIM dalam membina ekosistem yang diperlukan untuk Malaysia menjadi peserta terkemuka dalam pasaran EV global.

“SIRIM sentiasa menjadi penyumbang utama kepada pembangunan industri kita, khususnya dalam bidang penyelidikan, teknologi dan kualiti.

“SIRIM terbukti menjadi rakan kongsi bernilai dalam setiap lima sektor utama dengan membantu meningkatkan keupayaan peserta industri,” katanya ketika berucap melancarkan ekosistem lengkap untuk industri EV, yang diadakan pada majlis SIRIM Industri 2023 di sini, pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata EV menjadi bidang tumpuan utama Malaysia yang ditetapkan dalam dasar dan strategi seperti Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau berkata industri EV, yang merupakan subsektor elektrik dan elektronik (E&E), adalah satu bidang dengan SIRIM memberi impak ketara. “NRBTC yang bertujuan menyediakan ujian, pengesahan dan pengesahsahihan pihak ketiga yang berkualiti tinggi dan tidak berat sebelah untuk bateri boleh dicas semula yang besar dan berkuasa tinggi, bukan sahaja akan berperanan penting dalam membangunkan industri bertumpu kepada ujian bateri dan perkhidmatan berkaitan di Malaysia, malah juga mendorong meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pengeluar bateri EV.

“Kita tidak boleh mengetepikan kepesatan pertumbuhan industri EV di seluruh dunia, apabila pada 2022, 10 juta EV telah dijual di peringkat global, 80 kali lebih daripada jumlah jualan pada 2012, dengan pelaburan berkaitan EV global melebihi RM1.98 trilion,” katanya. Beliau berkata dari 2018 hingga tahun ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 58 projek EV dan yang berkaitannya dengan nilai berjumlah RM26.2 bilion.

“Sudah tentu, ini hanyalah jumlah yang sangat kecil berbanding nilai pelaburan EV global namun, ini satu permulaan dan saya yakin dengan ekosistem yang disediakan oleh SIRIM, bahagian kita dalam pelaburan ini akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SIRIM, Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata menerusi usaha memperkasakan masa depan dengan ekosistem EV, negara sedang mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperluas jalinan domestik, membangunkan kluster ekonomi baharu dan sedia ada serta menambah baik amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Ini semua adalah matlamat utama Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. “Selama lebih 50 tahun, SIRIM secara konsisten membina nama jenama kita, sinonim dengan keselamatan, kebolehpercayaan, integriti dan kepercayaan dalam perkara melibatkan teknologi dan penyelidikan di samping membantu peserta industri kita membina nama jenama mereka dan menawarkan penyelesaian kelas pertama kepada pasaran antarabangsa menggunakan perkhidmatan kami,” katanya.

Menurut SIRIM, ekosistem lengkap untuk kenderaan elektrik di Malaysia akan berperanan penting dalam memastikan bateri, sistem pengecasan dan komponen yang digunakan dalam mobiliti elektrik adalah selamat, boleh dipercayai dan cekap, sekali gus menggalakkan keyakinan pengguna terhadap EV.

— BERNAMA