Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
Email
WhatsApp
Print

Malaysia Gazette – 200 pelajar PSA terima sumbangan baucar makanan SIRIM

SHAH ALAM – Seramai 200 pelajar golongan B40 Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menerima sumbangan baucar makanan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. berjumlah RM30,000.

Timbalan Pengarah Akademik, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman berkata, program tersebut merupakan kerjasama antara PSA dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dengan  memberikan sumbangan kepada para pelajar daripada golongan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM4,850 sebulan.

“Melalui inisiatif ini kita berharap dalam membantu mengurangkan beban ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan wang saku serta membantu para pelajar mendapat nutrisi lengkap dan secukupnya bagi memastikan mereka berkeadaan baik dan sihat untuk menjalani proses pembelajaran dengan sebaiknya.”

“Kepada pelajar sekalian, gunakanlah sumbangan ini sebaiknya dan jadikan ia sebagai motivasi dalam meneruskan pengajian dan meningkatkan semangat diri untuk mencapai kecemerlangan seterusnya menyumbang semula kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Penyerahan Cek Program Berkongsi Kegembiraan melalui Baucar Makanan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. kepada PSA telah diadakan di Anjung Bestari, PSA, baru-baru ini.

Baucar yang bernilai RM150 setiap seorang itu boleh digunakan pelajar yang layak bagi membeli makanan di kafeteria dan food court yang terdapat di PSA.

Turut hadir Ketua Seksyen Pemasaran dan Komunikasi SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Rosniza Abdul Wab, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PSA Noor Hayati Mat Taib serta barisan Majlis Pewakilan Pelajar PSA.

Menurut Rosniza, tahun ini SIRIM QAS International Sdn. Bhd. memperuntukkan sebanyak RM90,000 bagi tujuan sumbangan baucar makanan yang memberi manfaat kepada 600 pelajar di tiga buah politeknik. – MalaysiaGazette

source: https://malaysiagazette.com/2023/10/31/200-pelajar-psa-terima-sumbangan-baucar-makanan-sirim/